Jom Click

pautan

make dollar....

6.02.2009

mukjizat sepanjang zaman



Apakah Anda Perlu Tahu Tentang Islam?

Firman Allah swt “Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Al-Qur'an, Al-Mukminun (23):115

Apakah makna ‘Islam’?

Perkataan “Islam” bermakna “Penyerahan kepada Allah”. Agama Islam tidak dinamakan sempena nama seseorang seperti mana agama “Kristian” dinamakan sempena nama Jesus Kristus, atau “Buddha” dinamakan sempena nama Gautama Buddha, atau seperti mana “Marxisma” dinamakan sempena nama Karl Marx, atau seperti mana “Konfucianisma” dinamakan sempena nama Konfucius. Begitu juga Islam tidak dinamakan sempena nama suku seperti mana “Judaisma” dinamakan sempena nama Judah, dan “Hindu” dinamakan
sempena nama Hindu. Perkataan Arab untuk “Islam” membawa maksud penyerahan kemahuan seseorang kepada kemahuan satu-satunya tuhan yang layak disembah, iaitu “Allah” (dalam agama Kristian dikenali sebagai Tuhan “Bapa”). Sesiapa yang benar-benar menyerah kepada kemahuan Allah seperti yang dikehendaki oleh Islam digelar “Muslim”, yang bermakna orang yang menyerah kepada kehendak Allah. Malangnya, ramai orang Barat yang menurut trend menggelar Islam “Muhammadnisma” dan pengikut-pengikutnya “Muhammadan”. Perkataan ini asing bagi umat Islam dan mereka tidak mengiktirafnya. Tiada Muslim yang memanggil agamanya “Muhammadnisma” atau menggelar dirinya “Muhammadan”.


Apakah konsep asas Islam?

Islam mengajar kita bahawa kehidupan ini adalah suatu ibadat. Kita diletakkan di bumi untuk beribadat kepada Allah dan mematuhi perintahNya. Ketika hidup di dunia, kita dihadapkan dengan satu siri ujian. Kita mempunyai pilihan untuk mengharungi ujian ini dengan mematuhi undang-undang tertentu, dan diberikan ganjaran pada kehidupan yang berikut, atau kita boleh memilih untuk tidak mengharungi ujian-ujian ini dan tidak mematuhi undang-undang tertentu, lalu menyesalinya pada kehidupan yang berikut. Setiap orang bertanggungjawab ke atas ganjarannya yang muktamad. Tuhan mengadakan undang-undang ini untuk menjadikan kehidupan kita lebih baik dan selamat. Jika kita memilih untuk mematuhinya, kita akan dapat melihat kesannya dalam kehidupan ini sebelum memulakan hidup dalam kehidupan yang berikut.

Kita dimaklumkan bahawa kehidupan di bumi adalah kehidupan berlandaskan iman dan amal, dan kehidupan yang berikut adalah kehidupan untuk menikmati ganjaran dan tiada amal. Kita telah diletakkan di bumi untuk menyembah Tuhan, berpuasa, bersembahyang, berusaha, berbuat baik, saling menghormati dan menjadi sumber kebenaran dan contoh akhlak yang baik. Kita dimaklumkan bahawa Tuhan tidak memerlukan ibadat kita. Ibadat kita tidak menambah kerajaan Tuhan, mahu pun meningkatkan kuasanya, tetapi ibadat kita adalah untuk kebaikan kita dalam kehidupan ini dan kehidupan berikutnya. Tidak seperti beberapa agama yang mendakwa bahawa Tuhan membuat perjanjian dengan kumpulan manusia tertentu dan bahawa kumpulan ini lebih tinggi martabatnya, atau lebih dekat kepada Tuhan daripada manusia lain, Islam mengajar bahawa tiada warna kulit, bangsa, suku atau keturunan yang lebih baik daripada yang lain. Islam mengajar bahawa semua manusia adalah sama di sisi Allah dan satu-satunya perkara yang membezakan mereka di sisi Allah adalah ketakwaan dan ibadat seseorang.

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”
Al-Qur'an, Al-Hujarat (49):13




Tahap-tahap Islam

Islam terdiri daripada tiga tahap, setiap tahap dibina daripada tahap yang lebih rendah. Tahap-tahap tersebut adalah:

1. Islam

a) Bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah.
b) Mendirikan sembahyang setiap hari.

c) Membayar zakat (sedekah yang wajib terhadap golongan miskin).
d) Berpuasa pada bulan Ramadan.
e) Menunaikan haji di Mekah sekali seumur hidup jika berkemampuan.


2. Iman

a) Percaya kepada Allah.
b) Percaya kepada malaikat-malaikatNya.
c) Percaya kepada kitab-kitabNya.
d) Percaya kepada utusan-utusanNya.
e) Percaya kepada hari pengadilan.
f) Percaya kepada qada’ dan qadar (takdir) sama ada baik atau buruk.

3. Ihsan

Menyembah Allah (Tuhan) seolah-olah anda melihatnya, kerana jika anda tidak melihatnya, dia pasti
melihat anda.

Apakah rukun-rukun Islam?



Islam dibina di atas lima rukun utama. Seorang Muslim diajar bahawa sesiapa yang meninggal dunia dalam keadaan dia mematuhi kelima-lima rukun asas ini akan memasuki syurga. Rukun-rukun ini adalah:
1) Bersaksi bahawa tiada yang layak disembah melainkan Allah (Tuhan) sahaja, dan bahawa Muhammad
(s.a.w.) adalah utusanNya. Ini menetapkan keimanan dan kepatuhan hanya kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.Sesiapa yang menyembah Tuhan lain selain Allah swt tempatnya adalah di dalam neraka pada hari akhirat.

2) Mendirikan sembahyang lima kali sehari menurut cara yang telah ditetapkan dalam waktu yang ditetapkan.
Sembahyang ini mengingatkan kita supaya mengingati Tuhan setiap masa, sama ada sebelum atau selepas
sembahyang.

3) Membayar 2.5% zakat daripada hartanya setiap tahun jika hartanya melebihi kadar minima yang dianggap
sebagai di atas paras kemiskinan (ini adalah konsep asas, pengiraan sebenarnya adalah lebih kompleks).

4) Berpuasa dalam bulan Ramadan (menurut kalendar lunar Islam) daripada terbit matahari sehingga matahari
terbenam. Berpuasa termasuk menahan diri daripada makan, minum dan hubungan suami isteri daripada
terbit matahari sehingga matahari terbenam.

5) Menunaikan haji di Mekah sekali seumur hidup jika mampu dan sihat tubuh badan. Dalam musim haji,umat Islam dari serata dunia bertemu selama enam hari untuk menunaikan ibadat yang telah ditetapkan. Semua lelaki Muslim diwajibkan memakai pakaian yang sama yang ringkas dan murah untuk didapati.Mu’ad bin Jabal berkata: Aku berkata kepada Rasulullah (s.a.w.): Khabarkan kepadaku amal yang membolehkan aku masuk ke syurga dan menjauhkan aku dari api neraka. Beliau (Nabi) berkata:

“Kamu telah menanyakan perkara yang [kelihatannya amat] sukar tetapi mudah bagi mereka yang telah dimudahkan oleh Allah. Sembahlah Allah dan jangan menyekutukanNya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang, keluarkanlah zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan tunaikan haji di Kaabah.”

Diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, dan ibn Majah

Al Quran

Al Quran ialah kitab yang Allah swt turunkan untuk panduan hidup manusia di dunia ini. Al Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw 1400 tahun yang lalu. Di dalamnya terdapat hal-hal yang berkaitan kepercayaan (akidah), peraturan hidup (syariat) dsb. Al Quran adalah kitab yang terakhir diturunkan oleh Allah swt kepada nabi-nabinya. Umat manusia dituntut beriman bahawa Al Quran datangnya daripada Allah swt dan bukannya Nabi Muhammad saw yang mengarangnya. Umat manusia yang ragu atau tidak mempercayai Al Quran dicabar oleh Allah swt untuk mengkajinya.

Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Qur'an ataukah hati mereka terkunci?
Muhammad : 24

Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Qur'an? Kalau kiranya Al Qur'an itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.
An Nisak :82

Al Quran juga mencabar manusia yang ragu terhadap Al Quran agar mendatangkan satu surah yang setanding dengan Al Quran.


Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al Qur'an yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang semisal Al Qur'an itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.
Al Baqarah :23

Nabi Muhammad (s.a.w.)

Umat Islam diajar bahawa nabi-nabi adalah manusia biasa yang dipilih oleh Tuhan untuk tugas yang khusus. Mereka dianugerahkan mukjizat untuk membantu mereka menyampaikan ajaran mereka, tetapi mukjizat-mukjizat ini tidak dilakukan dengan kuasa mereka sendiri, sebaliknya melalui kuasa Tuhan. Nabi-nabi Tuhan tiada kuasa istimewa sendiri, juga tidak berkuasa untuk menentukan siapa yang akan ke syurga atau ke neraka. Mereka hanya menyampai kan ajaran yang diamanahkan oleh Tuhan ke atas mereka dengan sedayaupaya mereka. Begitu juga, Muhammad (s.a.w.) dibantu oleh Tuhan dengan beberapa mukjizat dan diamanahkan untuk menyampaikan agamaNya kepada manusia. Bagaimanapun, Muhammad (s.a.w.) sendiri hanyalah manusia biasa. Beliau tidak boleh memberikan kebenaran untuk ke syurga. Beliau tidak boleh mengutuk seseorang dengan balasan neraka. Beliau tidak boleh merubah hati manusia. Beliau hanya menyampaikan ajaran dan berharap orang ramai akan menerimanya.

Muhammad (s.a.w.) hidup seperti mana-mana lelaki atau wanita lain di kalangan kaumnya. Beliau berpakaian seperti mana mereka berpakaian. Beliau makan makanan yang mereka makan. Beliau hidup seperti mana mereka hidup dan tinggal di dalam rumah seperti rumah mereka. Adalah mustahil bagi seseorang yang tidak mengenalinya untuk mengagak yang mana satu beliau di kalangan orang ramai. Muhammad (s.a.w.) mengajar pengikut-pengikutnya melalui contoh teladan. Jika beliau mengarahkan pengikut-pengikutnya melakukan sesuatu, beliau adalah orang pertama yang melakukannya. Beliau tidak pernah mungkir kata-katanya, beliau adalah orang yang paling pemurah di kalangan kaumnya. Beliau amat takut kepada Tuhan dan paling sedikit terpikat dengan dunia. Beliau tidak pernah menerima sedekah, sebaliknya bekerja untuk mencari nafkah. Beliau tidak pernah berbohong. Bukan perkara luar biasa baginya menanggung kelaparan selama berbulan-bulan tanpa menjamah makanan yang dimasak. Beliau mengajar pengikutpengikutnya supaya kasih kepada kanak-kanak dan menghormati orang tua. Beliau mengarahkan mereka supaya jangan menjamah arak, jangan berjudi, mengamalkan riba, berzina, bersifat hasad dengki atau memfitnah.

Muhammad (s.a.w.) mengajar bahawa tiada sesiapa yang memerlukan orang lain untuk menjadi orang tengah di
antaranya dan Tuhan. Beliau menunjukkan bahawa Tuhan sentiasa ada bagi semua makhlukNya. Dia mendengar dan melihat segala -galaNya dan memakbulkan doa hambaNya. Muhammad (s.a.w.) mengingatkan pengikut-pengikutnya supaya jangan sama sekali menaikkan martabat mana-mana makhluk Tuhan ke tahap yang tinggi yang menghampiri Tuhan, atau berlebih-lebihan dalam memuji mana-mana manusia, termasuklah nabinabi Tuhan sendiri. Beliau mengajar bahawa hamba Tuhan yang terbaik adalah mereka yang sentiasa mencari ilmu dan bahawa Tuhan melihat segala yang mereka lakukan.Muhammad (s.a.w.) mengajar pengikut-pengikutnya supaya kuat berusaha dan mencari nafkah secara jujur. Beliau mengajar mereka bahawa Muslim yang terbaik bukannya mereka yang asyik dengan harta kekayaan kerana kekayaan yang banyak biasanya menyesatkan. Namun beliau juga mengajar bahawa seorang yang kaya-raya yang tidak tertipu oleh kekayaannya tidak dikutuk oleh Tuhan, malah dapat menggunakan hartanya sebagai ibadat yang mana ini tidak dapat dilakukan oleh golongan miskin. Dengan kata lain, Muhammad (s.a.w.) mengajar kesederhanaan dalam semua perkara.

Firman dan peringatan daripada Allah swt:

Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.
Ali Imran :85

No comments:

Post a Comment