Jom Click

pautan

make dollar....

5.18.2010

Lesen Judi Piala Dunia Menyanggahi Fikiran

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa pihak Kerajaan Pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus. Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut;

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa ‘tindakan pemerintah terikat dengan maslahah’. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri. Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi’i r.h:

“Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).

Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?! Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu. Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima. Al-Quran menyebut: (maksud)

“Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima. Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada ‘dilesankan’ atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan. Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain. Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi. Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa ‘judi adalah budaya kami’, atau ‘kebanggaan hidup kami’. Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi. Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama. Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang. Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah ‘taukeh’ sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen. Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat ‘hisap candu berlesen’ untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen? Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

7. Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!


sumber www.drmaza.com

Doa menolak zina

“Ustaz, di manakah saya boleh mencari kekuatan untuk menolak zina?” seorang anak muda bertanya kepada saya.

“Carilah ia di dalam Solat. Di dalam doa” saya membalas email yang dikirimnya.

Anak muda itu terasa hampa. Barangkali beliau kecewa kerana saya memberitahunya apa yang dia sudah tahu.

Solat.

Doa.

Sudah berapa kali dia bersolat dan berdoa, tetapi kekuatan yang dicari tidak pernah ada. Seperti Allah tidak menjawab permintaannya. Solat yang hampa. Doa yang terbang dibawa angin masa.

Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’aala sendiri memberi jaminan bahawa Solat itu mencegah manusia daripada kemungkaran, terutamanya zina? Itu yang disebut di dalam al-Quran:

“Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya Solat itu mencegah daripada perbuatan yang Fahsya’ dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar. Dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” [Al-Ankabut 29: 45]

Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya. Seandainya solat anak muda itu dan kita semua tidak mampu mencegah diri daripada kejahatan, terutamanya Zina, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan solat yang kita kerjakan. Bukan sahaja daripada aspek cukup Syarat atau sah tidak sahnya solat itu, malah intipati dan maknanya.

Ya, sejauh mana kita memaksudkan apa yang kita minta?

Sampaikah kepada permintaan seorang anak muda bernama Yusuf?

TELADAN MUJAHADAH YUSUF

Imra’ah al’Aziz yang dikenali sebagai ‘Zulaikha’ itu, tidak pernah berputus asa. Di satu ketika dia menafikan dirinya sebagai orang yang memaksa zina ke atas Yusuf. Tetapi setelah kejadian baju Yusuf terkoyak akibat kejadian sebelumnya (Yusuf 12: 25) tersebar ke seluruh kota (Yusuf 12:30), Zulaikha menjadi liar. Malunya hilang, malah semakin mengganas pada tindakannya untuk mendapatkan Yusuf. Wanita-wanita bangsawan temannya dihimpunkan. Mereka dijamu makan. Setiap tangan diberikan pisau untuk memotong dan Zulakhai memaksa Yusuf tampil ke khalayak menampakkan diri.

Daripada Anas bin Malik radhiyallaahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Yusuf telah diberikan separuh daripada kecantikan diri” [Al-Bukhari no. 7517 dan Muslim no. 162]

Separuh kecantikan diberikan kepada Yusuf.

Separuh lagi diagihkan kepada seluruh manusia lain!

Giliran mereka pula dibius cinta. Tangan tidak terasa bahawa pisau tidak lagi memotong makanan. Jari-jari mereka luka dipotong pisau kerana panahan rupa paras Yusuf. Zulaikha mengeluarkan ‘buah’ manusia yang mabuk cinta. Mereka belum kena lagi. Sekarang tahukah mereka apa yang dihadapinya saban hari selama ini?

“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan (Yusuf) akan menjadi daripada orang-orang yang hina.“ [Yusuf 12: 32]

Kini Zulaikha tidak lagi sendirian. Kemahuannya diakui oleh seluruh wanita yang melihat susuk wajah Yusuf. Zulaikha berjaya menjustifikasikan kehendak nafsunya. Maksiat bukan lagi maksiat. Kini maksiat adalah suatu mangsa keadaan!

Malah dayusnya al-’Aziz dan betapa berkuasanya Zulaikha sebagai First Lady, dia bebas menentukan siapakah yang patut dihumban ke penjara dan siapa yang tidak. Andai Yusuf enggan menerima ajakan Zulaikha, harga yang perlu dibayar adalah PENJARA.

Apakah tekanan yang Yusuf hadapi?

Anak muda, peluang ada, kecenderungan bisa terjadi, menolaknya pula bererti merengkuk di penjara. Sepadankah tekanan itu dengan apa yang kalian sebagai anak muda, hadapi berkaitan zina?

Atau kalian dengan sengaja gemar berkelakuan lemah diri? Justeru mudah memberi alasan, bahawa keadaan adalah ‘pihak’ yang patut dipersalahkan?

Sesungguhnya Yusuf mendengar ugutan itu. Beliau tahu di hadapannya hanya dua. Zina atau penjara.

MENCARI KEKUATAN DENGAN SOLAT DAN DOA

Yusuf tinggal sendiri.

Al-’Aziz sebagai bapa angkatnya, suami kepada Zulaikha dan Menteri Utama negara Mesir, tidak berperanan untuk mencegah hal ini. Beliau berada di kemuncak dayus.

Tiada tempat lain untuk Yusuf mencari kekuatan melainkan dengan Solat dan Doa.

Yusuf (merayu kepada Allah Taala dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan jadilah aku daripada golongan orang jahil yang tidak mengamalkan ilmunya” [Yusuf 12: 33]

Doa Yusuf itu sarat dengan makna. Yusuf benar-benar menyatakan kebergantungannya kepada Allah. Sesungguhnya tanpa bantuan Dia, Yusuf lemah untuk mendepani tipu daya wanita-wanita jahat itu. Sesungguhnya doa tidak boleh datang daripada hati yang sombong. Meminta sesuatu daripada Allah yang dirinya tidak berasa kepada keperluannya. Jika Allah beri, dia terima. Jika Allah tidak beri, dia akan buat sendiri. Sombongnya hati manusia yang meminta dan berdoa tidak dengan bahasa seorang hamba.

Yusuf juga menunjukkan kepada kita kuasa sebuah doa. Doa menguji sama ada kita benar-benar mahu kepada apa yang diminta, atau kita memintanya tanpa kesungguhan dan makna. Doa akan membunuh sifat hipokrit bahawa mulut meminta sesuatu, namun hati tidak bersungguh memaksudkannya.

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan engkau yakin ia akan dikabulkan, ketahuilah bahwa Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai”. (Hadith riwayat al-Tirmidzi, dihasankan oleh Sheikh al-Albani)

ENGKAU DAN DOAMU


Dirimu minta daripada Allah agar dihindarkan daripada zina. Namun sejauh mana hatimu membenci zina? Sejauh mana engkau mahu menjauhkan diri daripadanya? Adakah mulut meminta perlindungan, ketika hati dibiarkan melayan kecenderungan?

Doa mengajar kita memaksudkan apa yang kita minta. Supaya dengan doa itu, akhirnya hanya dirinya dan Allah yang benar-benar tahu, sejauh mana permintaan itu disungguhkan.

“Apabila sesiapa daripada kalangan kamu berdoa, maka hendaklah dia menekadkan apa yang diminta. Dan janganlah sekali-kali beliau berkata: Ya Allah jika Engkau mahu, berikanlah kepadaku apa yang kuminta. Sesungguhnya tiada suatu permintaan pun yang berat bagi Allah untuk menunaikannya” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Doa menyaring hasrat hati.

Hanya hati yang berjaya membulatkan permintaan, bersih daripada rasa berbelah bagi antara mahu meninggalkan maksiat dengan adanya rasa sayang untuk apa yang berlaku itu tamat.

Yusuf benar-benar memaksudkannya. Dirinya semakin lemah dengan tekanan yang memuncak. Justeru jika satu-satunya cara untuk selamat adalah dengan merealisasikan ugutan Zulaikha, sesungguhnya penjara itu lebih disukainya berbanding zina yang membinasakan.

HATI YANG IKHLAS

Di sinilah titik IKHLAS pada hati yang meminta. Hati yang bersih daripada semua pihak selain daripada Allah.

“Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” [Yusuf 12: 34]

Allah Maha Mendengar permintaanmu.

Allah Maha Mendengar suara halus di dalam hati yang meminta itu dan sejauh mana permintaan itu dimaksudkan.

Allah juga Maha Mengetahui terhadap apa yang berlaku.

Zulaikha mahukan engkau terpenjara untuk membalas dendam.

Allah memberikan engkau penjara seperti yang diminta, bahawa penjara itu memiliki hikmah besar yang menanti, seperti yang berada di dalam Ilmu-Nya.

“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk ke Neraka Jahannam dalam keadaan yang hina” [Ghafir 40: 60]

Justeru anak muda, saat engkau mendepani kehidupan yang sangat mengajak kepada zina ini, perkukuhkanlah Solat dan Doamu untuk mencari ketulusan hati.

Hati yang benar-benar membenci zina dan kejahatan. Hati yang benar-benar menolaknya.

Seperti yang terungkap di dalam sebuah DOA!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

1.22.2010

Memahami Maratib Amal dan Nama Allah

Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai maratib (ketertiban) amal, dan mungkin juga ada yang tidak pernah lansung mendengar mengenainya. Semoga yang tidak pernah mendengar, ini disebabkan oleh anda belum berpeluang mendengar, dan bukanlah kerana sindrom ''aku tidak pedulisme''

1. Individu Islam
2. Keluarga Islam
3. Masyarakat Islam
4. Kerajaan Islam
5. Negara Islam
6. Khilafah Islam
7. Kuasa dunia

Turutan maratib amal memperjelaskan kepada kita akan keutamaan di dalam melaksanakan amal. Sebelum itu, mari kita dengar sebuah kisah...

Ada orang....

Dia selalu membaca kisah-kisah pergolakan di seluruh dunia. Penindasan yang berlaku di Palestin dan selatan Thailand, begitu juga kekejaman di beberapa wilayah di China, dan peperangan yang berlaku di Darfur, Bosnia dan Ambon. Ini belum dicampurkan lagi dengan malapetaka yang melanda seperti ''the great Tsunami wave'' yang berlaku di Acheh dan gempa yang mengorbankan begitu banyak sekali nyawa di serata dunia.

Terlalu banyak pembacaan dan mengambil tahu hal ehwal serata dunia menyebabkan individu ini merasa tertekan dan marah kepada diri sendiri, lantaran kelemahan dan ketidak mampuan diri untuk membantu semua situasi yang disebutkan di atas.

Lantas penting untuk individu ini memahami perbezaan di antara ''sphere of concern'' dan ''sphere of influence'', untuk menjadikan kita lebih bijaksana dan berhikmah dalam tindakan dan amalan. Individu yang bijak akan mengenalpasti ruang lingkup sphere of influence nya terlebih dahulu daripada risau akan segala concern yang tidak mampu diselesaikan. Kita perlu menilai semua concern yang ada, dan berlepas daripada titik mula yang anda paling mampu mengubahnya. Dan 'ajaib'nya, anda paling berkuasa ke atas perubahan diri anda!!

Isu Kalimah Allah
Di kala isu pengunaan nama Allah sedang hebat diperbincangkan di tanah air pada saat penulisan ini dikarang, mari kita melihat beberapa perspektif positif yang menarik untuk direnungkan:

Yang menganjak paradigma

1. Ada persatuan pelajar di dalam dan luar negara yang amat sukar untuk menganjurkan program yang bercorak keagamaan dan yang ada 'Allah' disebut di dalamnya, dengan alasan, kita kena berlaku adil. Namun isu ini telah membawa paradigma baru. Siapa kata program yang ada 'Allah' disebut di dalamnya hanya untuk Muslim?

2. Lawatan tokoh agama seperti Tuan Guru Nik Aziz ke gereja dan bertemu serta memberikan sumbangan kepada paderi katholik mungkin telah menyebabkan golongan-golongan tertentu terlompat daripada kerusi mereka. ''Aik, sheikh berserban pun datang melawat gereja?'' Bukan salah mereka, maafkan mereka kerana mungkin mereka kurang mengerti kerana suasana sebegitu yang wujud dalam masyarakat kita di Malaysia. Rupanya Islam sangat rapat dengan geng Kristian.

Sebagaimana Allah berfirman di dalam surah 5, ayat 82;

And you will find that the closest people in friendship to the believers are those who say, "We are Christian." This is because they have priests and monks among them, and they are not arrogant

3. Aplikasi maratib amal.

i) Individu: Di situasi sebegini, kita boleh menilai kembali (post mortem atau muhasabah) sphere or influence kita. Sedang kita sibuk-sibuk mengatakan wajar atau tidak nama Allah digunakan oleh yang bukan Islam, di manakah sebenarnya letaknya Allah di dalam diri kita? Analoginya, ada orang yang suka beli buku, tapi tak baca. Kalau orang nak pinjam, dia kedekut, dan barulah terhegeh-hegeh nak baca dan berkata ''boleh aku baca dulu buku ni?''. Tapi akhirnya buku itu terbiar diselaputi habuk di rak buku. Contoh termudah yang boleh kita tanya kepada diri, awalkah solat lima waktu kita?

ii) Keluarga & masyarakat: Kepada para professional dan barisan pelajar yang bakal menjadi tenaga professional yang sewajarnya lebih matang dalam mengawal emosi, dan perlu menggunakan peluang ini untuk menerangkan kepada masyarakat yang terkadang-kadang gagal mengawal emosi. ''Banyakkan menerang, bukan menyerang', kata Tuan Guru Hadi Awang. Antara yang boleh anda lakukan ialah;

- Jika kaum keluarga anda antara yang 'mengamuk' dalam isu ini, telefon keluarga di tanah air dan katalah; ''Ala, rileks lah Pak Anjang Bote, kalau kita dok gaduh ni, Islam pun tak ajar''

- Tulis surat kepada sekolah rendah dan sekolah menengah anda dahulu, dan tujukan kepada para pelajar dan guru-guru akan kepentingan untuk ada prinsip Islam yang tegas namun penuh hormat dan toleransi kepada bukan Islam. Kata-kata anda pastinya ada pemberat yang tersendiri.

- jadikan kesempatan ini untuk dijadikan 'modal' bercerita kepada rakan-rakan yang bukan Islam yang INGIN TAHU berkenaan Islam. Kesian kat depa ni...

iii) Negara & pemerintahan: Perjelas dan jernihkan fikrah dan kefahaman kita. Ada hikmahnya kenapa Allah menjadi pelbagai situasi dan keadaan, untuk kita mengambil ibrah dan pelajaran. Apabila isu ini ditimbulkan, ada yang marah, namun sekian lama HUKUM ALLAH diabaikan, kenapa kita 'buat dek' dan seolah-olah tidak tahu menahu? (I don't give a damn!!)

Jangan kaku
Jangan pula kita mengatakan ''aku belum mampu'' dan mengecilkan sphere of influence kita. Analoginya, kita mesti basuh tangan sebelum makan, namun jangan pula kita basuh tangan sahaja dan tak makan-makan. Daripada sudut lain, boleh sahaja kita makan tanpa basuh tangan, namun itu tidak hygienik dan lama-kelamaan akan membawa kemudaratan. Justeru, hendaklah kita sedar proses basuh tangan dan kemudian makan adalah satu proses berterusan yang tak ada penghujungnya. Mari kita belajar daripada Nabi Allah Ibrahim a.s. yang 'mencari' tuhannya, dan kemudian terjun bertemu dengan masyarakatnya walaupun 'gagal' menyakinkan ayahnya sendiri untuk kembali kepada ajaran Islam.

Jangan jadi semut
Akhir kata, janganlah kita sebagai ummat Islam menjadi laksana kumpulan semut di sebuah busut. Apabila dilontarkan sesuatu yang menimpa, semuanya lari bertempiaran dan berlanggaran sesama sendiri dan hilang arah tuju. Apabila ummat Islam dilontarkan sesuatu isu, semuanya gelabah dan hilang daya rasional. Mari kita mainkan peranan dan influence yang ada di dalam diri masing-masing demi kesejahteraan seluruh dunia.




11.10.2009

tidak BERCINTA-punca siswa/wi melayu kurang cemerlang di IPT

Semalam, terlihat seorang kenalan arab yg memang rapat dengan saya. Dia ni seorang ’syeikh’ la bagi saya. Tapi kali ini kelihatan dia bersama seorang gadis. Memang saya makruf bahawa mereka telah bertunang, bahkan dijemput lagi untuk hadir majlis pertunangan mereka tapi malangnya tak dapat hadir pula ketika tu. Melihatkan keadaan mereka berdua, tak pasal-pasal timbul pula keraguan akan peribadi ’syeikh’ ni. Dalam hati, “depa ni baru je bertunang, tapi gaya semacam je….dia ni ’syeikh’…tak kan la tak faham kot…“. Tak lama lepas kejadian tu, terserempak pula dengan kenalan saya ni di tempat lain. Dia seorang je kali ni. Dah sembang-sembang tanya khabar, mula la saya tanya pasal apa yang saya nampak hari tu. Konon-kononnya nak nasihat la syeikh ni. Then, dia pun dengan tenang kata, “Ooo, tu tunang aku. Tapi sebenarnya kira macam isteri aku la, kami dah akad nikah dah, cuma kami tak tinggal sekali. Nanti bila kami dah buat haflah zafaf(kenduri kahwin), baru kami tinggal sekali. Aku nak tunggu dia habis study dulu...”. Lepas tu baru lah faham cerita sebenar. Kiranya syeikh ni masih dapat mengekalkan status syeikh dia la, hehe. Masa tu baru teringat artikel yang pernah baca waktu dulu-dulu masa baru sampai Jordan. Pasal NIKAH KHITBAH…memang adat yang sangat cantik kalau dapat di apply di Malaysia. Untuk mereka yang dah pernah baca artikel ni, kira macam boleh refresh balik la ye….Selamat membaca!!



Oleh Ustaz Maszlee Malik

Selepas Majalah I sudi menerbitkan artikel “Cinta anta dan anti” penulis menerima banyak maklum balas. Sama ada melalui sms, panggilan telefon, emel dan juga pertanyaan-pertanyaan. Apabila majalah I bulan Mac pun turut memaparkan reaksi para pembaca mengenai artikel tersebut, persoalan ini semakin popular. Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan di IPTA dan IPTS menjemput penulis untuk berbicara “soal cinta”. Walaupun bukanlah seorang pakar dalam hal ini, namun pengalaman yang dilalui sepanjang enam tahun menjadi pensyarah IPT turut mendorong artikel tersebut dihasilkan.

Antara soalan yang biasa diajukan kepada penulis berkaitan artikel “cinta anta dan anti” ialah: “Apakah kesudahannya?” atau “Apakah penyelesaiannya?” Artikel tersebut seolah-olah tergantung, dan ramai yang begitu ingin mendapatkan jawapannya.

“Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini cuba memberikan alternatifnya.

Akibat Kurang Bercinta

Ketika ada yang bertanya punca siswa dan siswi Melayu kurang cemerlang di IPT, saya jawab dengan mudah: “Mereka kurang bercinta!”. Tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Mereka lantas mengungkit teori saya bahawa ramainya pelajar Melayu gagal di IPT adalah kerana gejala “coupling”. Saya menegaskan bahawa memang “coupling”lah yang menjadi faktor utama kegagalan pelajar-pelajar IPT, tidak kira Melayu atau bukan. Coupling hanya menghabiskan masa, duit, perasaan dan juga tenaga intelektual yang mereka ada. Coupling hanya membawa kepada kegagalan, kecuali coupling yang halal, iaitu menerusi perkahwinan! Lihat sahajalah laporan akhbar kosmo mengenai kegiatan seks luar nikah dan juga aktiviti pengguguran para siswi IPT di ibu kota.

Cuma bercinta dan coupling adalah dua benda yang berbeza. Bercinta yang dimaksudkan ialah proses percintaan yang sebenar. Cinta yang suci dan bersifat positif dan jauh dari pencemaran maknanya yang hakiki. Cinta yang difahami oleh kebanyakan orang dewasa ini adalah “nafsu” dan bukannya cinta. Cinta telah ditukarkan kepada nafsu oleh idealogi materialisme dan juga liberalisme yang berjaya menjajah pemikiran manusia dewasa ini. Cinta sebenarnya bersifat suci dan positif serta jauh dari nafsu. Sayangnya apabila manusia gagal memahami erti cinta, mereka telah menjadikannya sesuatu yang taboo, negatif dan juga tidak suci lagi.

Coupling pula, walaupun dari segi literalnya bersikap neutral, tetapi telah dikotorkan oleh idealogi liberal yang menjadikannya hanya sebagai definisi kepada perhubungan intim dia insan berlaina jantina sebelum berkahwin. Mengikut tafsiran coupling yang difahami oleh ramai orang dewasa ini, ia bukanlah bercinta, tetapi lebih kepada “melayan nafsu serakah” semata-mata.

Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta suci. Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada agama Islam, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada Negara dan juga cinta kepada pasangan suami atau isteri. Cinta akan menjadi unsur motivasi dan penggerak, dengan syarat ia adalah cinta sejati!

Khitbah Bukan Tunang

Salah seorang remaja dari salah sebuah IPT di Gombak pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”.

Penulis menjawab: “Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaitu bernikah!”.

Jika diutarakan persoalan nikah, ramai yang akan memberikan respon yang skeptic. “Mana ada duit!”, “Nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak bapak tak kasi!”, “Nak tinggal di mana?”, “Mana ada kerja lagi!”, “Diri sendiri pun tidak terjaga!” dan pelbagai alasan lagi. Mengapa mereka boleh mengemukakan alasan-alasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.

Apakah “khitbah”? Jika diterjemahkan secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.

Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung”. Bukankah bunyinya amat mengerikan?

Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan para siswa dan siswi kampus yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.

Khitbah di IPT

Jika pelbagai alasan yang dikemukakan demi mengatakan bahawa bernikah di alam kampus itu mustahil, maka khitbah adalah solusinya. Kedua-dua pasangan tidak perlu duduk sekali, tidak perlu mencari rumah berasingan, tidak perlu menanggung satu sama lain, tidak perlu makan lebih,tidak perlu membeli peralatan rumah dan perabot-perabot. Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.

Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di IPT-IPT seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengangguran di IPT-IPT Lembah Klang sudah cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus kea rah maksiat dan nafsu.

Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.

Kebanyakan ibu bapa menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemungkinan anak mereka akan hamil dan ia sudah pasti mengganggu pembelajaran. Penyelesaian untuk perkara tersebut amat mudah. Pasangan itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu belajar. Adalah amat naïf bagi mereka yang hidup alaf baru ini tidak mengetahui cara untuk mencegah kehamilan. Jika kaedah pencegahan tersebut gagal, dan dengan izin Allah, pasangan tersebut terpaksa menghadapi fasa kehamilan, maka sokongan ibu bapa amat diperlukan.

Risiko

Seperkara yang perlu diingat, perkahwinan di kampus ini juga tidak sunyi dari risiko. Adalah terlalu silap untuk menyangkakan semuanya indah belaka tanpa sebarang cabaran. Pernikahan di kampus hanyalah salah satu penyelesaian untuk masalah perhubungan bebas di antara jantina dan juga salah satu kaedah rawatan untuk gejala maksiat di IPT. Sekurang-kurangnya, walaupun ia berisiko, namun ia masih dapat mengelakkan risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dengan gejala berpacaran, serta boleh mengawal diri dan nafsu, adalah digalakkan untuk mereka hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Cadangan nikah kampus atau nikah khitbah ini hanyalah untuk mereka yang tidak mempunyai ketahanan jiwa dan keyakinan diri yang mantap untuk menghadapai cabaran semasa yang begitu menggila. Akhirnya kepada para siswa dan siswi kampus dan juga para aktivis di universiti, walau apapun tindakan yang diambil, pastikan mardhatillah menjadi matlmat utama!


dipetik dari http://rihlatulwujud.wordpress.com

11.07.2009

syurga cinta ???????

“Apa yang dimaksud ‘terlajur’ pada ayat ustaz tu?” Tanya seorang pembaca setia laman blog penulis.

“Usahlah ditanya, cukuplah kalimah tersebut menghantui kepala saya sejak kebelakangan ini” Penulis cuba meredakan hati yang sedikit risau melihat gelagat muda-mudi masa kini.

Mungkin para teman dan pembaca tertanya-tanya kenapa terlalu banyak mesej pesanan di yahoo messenger hingga memeningkan sesetengah sahabat-sahabat, tidak cukupkah sekali dihantar?

Penulis terpaksa berbuat sedemikian bagi menjawab banyak pertanyaan sama yang diajukan di dalam e-mail, bahkan yang terbaru betul-betul menguji kesabaran penulis. Apakah ini yang dikatakan darah muda yang berani memperlakukan perbuatan terkutuk ini?

Ada yang mengaku telah ditebuk oleh teman lelaki, terkapai-kapai mencari jalan pulang kepada-Nya.

Allahu Rabbi…!

Namun paling merisaukan penulis, penyakit kronik ini berlaku di kalangan anta anti yang mempunyai asas ilmu agama sebagai pendiding. Ingatkan cerah hingga ke petang, hujan pula dipertengahan.

Inilah yang penulis persoalkan.

وَمَن كَانَ فِى هَـٰذِهِۦۤ أَعۡمَىٰ فَهُوَ فِى ٱلۡأَخِرَةِ أَعۡمَىٰ وَأَضَلُّ سَبِيلاً۬

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya” al-Israa’ (17:72)

Ada yang berpendapat fatrah masa pertunangan adalah waktu untuk berkenal-kenalan, jadi apa salahnya untuk keluar bersama ke taman-taman rekreasi, pusat hiburan dan sebagainya. Ini adalah pandangan yang fasad dan tidak diiktiraf oleh agama. Mana tidak semua hujah atau dalil tersebut berbaur khayalan dan bayangan iblis bagi memuaskan nafsu semata-mata.

Pendirian penulis berkenaan dengan no couple sebelum kahwin sememangnya tetap tegar dari sekolah, universiti sehinggalah penulis akan merasai nikmat berkahwin itu sendiri. Mungkin penulis antara individu yang amat tajam dalam mengkritik individu yang bercinta hingga meleret-leret sebelum kahwin.

Terkadang terasa rimas dengan sikap sesetengah daripada kawan-kawan yang bercinta kononnya, sungguh mengajar erti kesabaran. Mabuknya melampau-lampau. Tunduk ego kelakian, dan lembik tengok para wanita.

Bahkan penulis sering beranggapan golongan yang bercinta sebelum kahwin ini kadang-kadang boleh menjadi munafik. Bagaimana pula? Kenapa tidak, semasa bercinta semuanya sikap yang baik-baik ditonjolkan, daripada cakap-cakap romantik, hadiah yang tidak pernah putus-putus, puji-pujian yang melangit dan sebagainya. Tetapi selepas kahwin, berapa ramai yang kekal dengan lakonan masa cinta tengah mekar subur sebelum ini, jarang sekali akan ketemu mereka yang masih ingat pada skrip yang pernah dihamburkan dulu.

Inilah salah satu puca perceraian yang tinggi di tanah air kerana pasangan berasa tertipu selepas belang sebenar pasangan mereka terdedah bilamana merasai sendiri bayangan rumahtangga yang sebenar.

TIADA MATLAMAT HIDUP JELAS

Bagi yang sudah terdedah dengan gaya hidup bebas, keluar bersama untuk dating, beriba dan bertepuk tampar bukanlah sesuatu yang pelik. Penulis terkedu mendengar kisah hidup masyarakat muda-mudi Malaysia yang sudah ala-ala barat. Masalah ber-couple dan membawa balik pasangan ke rumah sudah menjadi perkara biasa, yang hairannya ibu bapa sendiri yang merestui hubungan haram itu.

Belum cerita lagi tidur sekatil yang makin menjadi ‘biasa’. Maksiat? Dosa? Semunya tidak terasa dek kerana matlamat menghalalkan cara.

“Niat kami baik, bukan nak main-main pun, sampai masa kami kahwin la. Kamu sibuk kenapa? Macamlah baik sangat”

Biasa dengarkan ayat di atas?

Lain pula ceritanya dengan pasangan yang berkopiah dan bertudung litup, terkadang penulis tergelak keseorangan dengan lakonan wara’ mereka. Berhenti solat di masjid semasa keluar bersama, maklumlah alim dan wara’, miscall qiamullail, sms tazkirah dan sebagainya antara skrip murahan harian mereka.

Mabuk orang bercinta ni memang dahsyat. Mengapa mabuk, rindu dendam yang sama tidak diaplikasikan dalam bercinta dengan Allah Taala. Pelik bukan? Mulut kita mengaku cinta Allah Taala, sayang Rasul s.a.w, namun amalannya masih jauh daripada hakikat sebenar.

“Macam mana nak kenal peribadi bakal isteri kalau tak bergayut dulu” antara alasan yang pernah diberikan kepada penulis.

Teringat penulis cerita lama orang tua kita yang berkahwin dan hanya mengenal pasangan masing-masing pada hari perkahwinan. Bahagia mereka lebih daripada pasangan moden yang kenal sampai ke dalam kain sebelum di-Ijab dan Qabul.

Pastinya kenyatan ini dijawab kembali: “Ala itu dulu, sekarang dunia sudah maju, takkan nak ikut cara datuk nenek kita zaman jepun dulu” Penulis terkedu mendengar ayat berapi ini.



SAY : “NO COUPLE”

Persoalan cinta sebelum kahwin ini merupakan tajuk yang panjang. Cinta tidak semestinya membawa kepada couple, namun bahkan cinta boleh menjadi wasilah kepada mungkar lain yang mungkin berlaku tanpa couple.

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَٲجِنَا وَذُرِّيَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡيُنٍ۬ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِينَ إِمَامًا

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa” al-Furqan (25:74)

Magnet jantina ini sebenarnya satu fitrah dalam kehidupan manusia. Hal ini bukanlah perkara baru bagi kehidupan pelajar ditambah lagi dengan faktor umur di alam kampus tarikan untuk berpasang pasangan merupakan perkara lumrah dan mendarah-daging dalam diri mereka.

Perkenalan di alam sekolah, kenal semasa kursus persediaan, kenal sebab sekelas atau satu universiti, kenal kerana pertukaran nota, bahkan kenal sewaktu sama-sama berprogram merupakan noktah pemulaan kepada eposid cinta remaja, mungkin cinta monyet.

Jadi bagi yang sudah bermula untuk mencari, semak balik niat anda. Bagi yang sudah tersasar jauh jadikan cinta Allah Taala benteng ampuh dalam mengawal karenah cinta anda yang bergelora. Akhirnya pesanan penulis kepada semua yang ingin dan tengah bercinta, jangan jadikan couple anda punca tawar hubungan suami isteri selepas kahwin.

Mengapa perlu mencari marah Allah Taala semata-mata mencari bahagia manusia yang tiada jaminan.

Jauhilah maksiat bercinta sebelum kahwin, sinonimnya cinta monyet ini.

“Ya Allah. Kami ingin belajar untuk mentaati perintah-Mu. Kami belajar untuk menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah. Kami seringkali jatuh dan bangun, jatuh dan bangun lagi, dan lagi. Semoga kami terus dipimpin oleh-Mu, duhai Allah”. ameen



11.03.2009

Petani Kerjaya Terbaik Dalam Islam?

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-A’raf ayat 58, yang bermaksud: “ Dan tanah yang baik, tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (kami) bagi orang-orang yang bersyukur.”

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 266, yang bermaksud: “Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan, kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandungi api, lalu terbakarlah. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.”

Di zaman serba moden ini, sektor pertanian semakin terpinggir kerana kemajuan kerjaya lain yang telah berkembang maju dan mendapat pulangan yang lumayan. Namun sektor pertanian adalah antara yang tertua dan paling kurang berisiko. Di sana ada tiga profesion yang popular dilakukan oleh manusia kini iaitu pertanian, perdagangan dan sektor pembuatan perindustrian. Demikian menurut pendapat Imam Al-Mawardi.

Para ulama’ berselisih pendapat tentang manakah yang paling baik dari ketiga-tiga profesion ini. Mazhab As-Syafei berpendapat bahawa pertanian adalah yang paling baik. Sedangkan Imam Al-Mawardi dan Imam An-Nawawi berpendapat bahawa bercucuk tanam yang paling baik kerana alasan berikut:


PERTAMA


Bercucuk tanam adalah merupakan hasil usaha tangan sendiri. Dalam Kitab Sahih Al-Bukhari disebutkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “ Tidaklah seseorang memakan makanan yang lebih baik dari orang yang memakan dari hasil tangannya sendiri dan adalah Nabi Daud a.s memakan dari hasil tangannya sendiri. ” Dan yang benar adalah apa yang dinaskan oleh Rasulullah s.a.w iaitu hasil tangannya sendiri. Maka bercucuk tanam adalah profesion terbaik dan paling utama kerana merupakan dari hasil tanaman sendiri.

KEDUA

Bercucuk tanam memberikan manfaat yang umum kepada ummah, khususnya kaum muslimin bahkan juga bidang ternakan. Kerana menurut hukum, manusia bergantung sumber kehidupan kepada pertanian dan penternakan. Makanan tersebut tidaklah diperolehi melainkan dari hasil tanaman, tumbuhan dan ternakan. Dalam hadis riwayat Muslim diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “ Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman melainkan apa yang dimakan dari tanaman tersebut bagi penanamnya menjadi sedekah, apa yang dicuri dari tanamannya tersebut bagi penanamnya menjadi sedekah, tidaklah seseorang merampas tanamannya melainkan bagi penamamnya menjadi sedekah.”

Dalam hadis riwayat Muslim yang lain menyebut, ertinya: “ Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman kemudian memakan tanaman itu oleh manusia, binatang dan burung melainkan bagi penanamnya menjadi sedekah hingga hari kiamat.” Dalam riwayat lain disebutkan: “ Tidaklah seseorang muslim menanam tanaman dan pohon kemudia dimakan oleh manusia, haiwan atau sesuatu melainkan penanamnya menjadi sedekah.”

KETIGA

Bercucuk tanam lebih dekat dengan tawakal. Ketika seseorang menanam tanaman maka sesungguhnya dia tidaklah berkuasa atas sebiji benih yang dia semaikan untuk tumbuh, dia juga tidak berkuasa untuk menumbuhkan dan mengembangkan tanaman itu menjadi tanaman. Tidaklah dia berkuasa membungakan serta membuahkan hasil tanaman tersebut. Kesemua urusan ini terletak di dalam kekuasaan Allah. Disini nampaklah nilai tawakal manusia kepada Allah Azza Wajalla.

As-Syeikh Zakaria Al-Ansari berkata: Mata pencarian yang paling utama ialah bercucuk tanam kerana lebih dekat dengan nilai tawakal dan ianya juga memberikan manfaat yang umum bagi semua makhluk dan secara umumnya manusia amat memerlukan kepada hasil pertanian. Al-Zarkasyi mengatakan bahawa semua manusia memerlukan kepada makanan dan tidak ada kehidupan tanpa makanan.

*Sumber: petikan dari buku Bertani Satu Ibadah

MTTHQ peringkat kebangsaan

barisan peserta dan pensyarah dari i4p



tahniah diucapkan kepada semua perserta dan pensyarah yang mewakili i4p pada pertandingan MTTHQ peringkat kebangsaan yang lalu yang diadakan di IPIS bangi.




juara bagi pertandingan tilawah ustaz ahmad bin ismail dari i4p

sekalung ucapan tahniah diucapkan kepada ustaz ahmad yang telah menunjukan belangnya bagi menggondol juara bagi kategori tilawah lelaki...tahniah diucapkan.





walaupun ini merupakan kali pertama bagi kami bertiga menyertai pertandingan ini namun alhamdulilah keputusan yang dikecapi tidak begitu baik.Syukur kepada ALLAH insyaALLAH dengan azam yang tinggi pada musim akan dapat akan ku gandakan keringat dan usaha untuk memperbaiki persembahan dan seterusnya mengagkat nama i4P di peringkat kebangsaan.INSYAALLAH


Pertandingan Khat i4P


Ustaz rijaluddin begitu tekun menulis kaht.

abg Mie merupakan bakal juara

Aini menconteng khat diwani nya

antara peserta-peserta pertandingan khat

kak izma da macam budak2 tadika da


Assalamuaalikum w..b.t

pertama skali buat dalam sejarah...

kelas pengajian agama islam dengan kerjasama jabatan pengajian islam dan moral telah menganjurkan pertandingan khat peringkat ipgm kampus pulau pinang.Pertandingan yang begitu sengit ini di sertai seramai 40 orang peserta.
pertandingan ini yang di adili oelh seorang hakim yang cukup berkaliber iaitu ustaz zuhud ulya yang merupakan guru kepada kelas khat kelas PA.








Tahniah di ucapkan kepada pemenang2 pertandingan khat kali ini.di akhir pertandingan kami urusetia pertandingan dikejutkan dengan kehadiran pengarah IPGM KPP yang begitu teruja dan tertarik dengan tulisan khat yang merupakan kesenian islam yang begitu hebat.

diharapkan pertandingan sebegini rupa dapat diteruskan lagi dari masa ke semasa sebagai salah satu bidang dakwah kecil yang mampu kami lakukan bagi menyebarkan islam di I4P..wsalam

Pesanan Surah At-Taubah

Petikan ayat-ayat suci Al-Quran ( Surah At-Taubah 12-18) ini dihimpun untuk punya hubung kait dengan isu kezaliman yang berlaku di bumi palestin. Moga kita bersama-sama dapat renungkan isi penting dari surah ini..

12: Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia dan mereka pula mencela agama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).

13: Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman?

14: Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman.


15: Dan Dia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendakiNya dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

16: Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah (sebagaimana yang diketahuiNya) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan.

17: Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam Neraka.

18 : Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.


Moga kita punya kekuatan untuk selamatkan bumi palestin dari kezaliman israel. Umat islam harus saling melindungi & membantu yang lemah dizalimi dan dianiaya.

Allah Huakbar!!

Mencarut Mencarut Mencarut

http://zhafrie.files.wordpress.com/2009/09/mulut.jpg

Salam,

Entri ini ditulis berdasarkan keadaan semasa. Saya sebagai manusia biasa pun pernah mencarut. Tetapi sekurang-kurangnya, saya tidak jadikannya sebagai bahan rutin yang dikeluarkan dari mulut anugerah ALLAH.

Mulut ini dicipta oleh Allah adalah untuk mengatakan perkataan baik seperti membaca quran berzikir, berkata benar dan sebagainya. Mencarut bukan benda yang main-main, ALLAH sangat membenci orang yang suka mencarut. Malah Rasululullah sendiri pernah bersabda dalam hadith di dalam sahih Muslim :

Diriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Bukan dari golongan kami orang yang menampar pipinya, mengoyak-ngoyak saku bajunya atau berdoa dengan doa orang-orang jahiliah

Berdoa dengan doa orang-orang jahiliyah yang dimaksudkan di hadith tersebut ialah mencarut. Bayangkanlah kebencian rasulullah terhadap orang-orang yang mencarut sehinggakan baginda tidak mengaku umatnya. Mampukah kita selamat diakhirat kelak tanpa mendapat label sebagai seorang umat rasulullah.

Cukupkah amalan kita untuk masuk ke syurga jika rasulullah tak mengaku kita sebagai umat? Syafaat (privillege) umat rasulullah amat besar di akhirat kelak, maka rugilah kita sebagai umat rasulullah secara automatik, tidak diakui oleh rasulullah sebagai umatnya.

Mencarut boleh jadi dalam berbagai bentuk, boleh jadi dalam bentuk percakapan bahkan untuk zaman yang serba canggih, internet dan komputer ini, penulisan di blog ataupon di laman2 web sosial seperti Facebook dan sebagainya menjadi media untuk mereka meluahkan perasaan mereka. Semakin lama semakin mudah untuk kita mencarut. Sehinggakan seorang yang bisu, buta pon boleh mencarut.

Ingatlah sahabat, perbuatan yang keji dan terkutuk ini tak sepatutnya ada pada kita sebagai umat islam dan umat rasulullah. Hidup kita takkan menjadi berkat jika kita dibenci. Bukan hanya dibenci orang, malah ALLAH dan RasulNya pon membencinya. Mana lagi ruang kita nak cari untuk mencari keberkatan?

Dari keberkatan lah kita akan dapat kebahagiaan dunia dan diakhirat, kebahagiaan rumahtangga. Masakan isteri atau suami kita menyukai kita mencarut? selesa dengan cara hidup kita dengan mencarut? Kebahagiaan melalui perkataan carutan? Ada ke? Fikirkanlah wahai sahabatku.

Memang sedap dan puas hati bila kita mencarut. Saya sendiri pun tak menafikannya. Malah saya pun pernah merasainya. Tapi kebaikannya hanya terbatas setakat itu sahaja. Malah keburukannya berganda-ganda banyaknya.

Tak perlu disebutkan lagi keburukan, anda sendiri dapat fikir. Masing-masing berpelajaran tinggi. Tambahan pula, banyak keburukan telah saya sebutkan samada secara langsung atau tidak di awal artikel ini.

Syaitan tak pernah putus asa dalam menggoda kita untuk melakukan perkara yang dilarang. Ingatlah, syaitan lebih senang dan suka hidup bersama mereka yang mengikuti godaan mereka.

Dibenci Allah, Rasul dan masyarakat tetapi disukai syaitan? Adakah itu pilihan kita? Jika itulah pilihan kita, terpulanglah.

Jadi, sahabat-sahabat yang membaca artikel ini, marilah kita berubah ke arah kehidupan yang lebih baik. Niat artikel ini ditulis ikhlas untuk menarik diri ini dan sahabat-sahabat sekalian supaya kembali ke jalan yang diredhai Allah.

Kita nak hidup cool, macho, chill, urban, sempoi, chic or wutever term boleh, tapi ada batasannya. Saya sendiri pun suke kehidupan sempoi-sempoi. Bak kate Mawi, dunia, dunia jugak akhirat jangan lupe. Mintalah berubah jangan jadikanya sebagai rutin.


Jazakumullah,