Jom Click

pautan

make dollar....

2.21.2011

BerSabarLah deMi RedhaNYA ;)




Kehidupan ini adalah permainan dalam pelbagai adegan yang mencabar dan penuh dugaan serta ujian Allah. Sesungguhnya segala dugaan bertujuan menguji kesabaran dan tahap keimanan seseorang hamba. Apabila terujinya seseorang hamba, maka segala mehnah dari-Nya itu adalah sebagai penghapus dosa yang menggantikan hukuman di akhirat kelak. Kadang kala apabila diuji, kita merasa cukup kuat dan kental jiwa untuk menempuh segala dugaan yang mendatang, namun ada masanya pula kita cukup lemah dan merasa hampir rebah dalam perjuangan meniti kehidupan. Ada kalanya kita berupaya melepasi ujian itu, namun ada kalanya juga kita merasakan tidak berupaya menghadapinya lantas merungut dengan apa yang berlaku.

Sesungguhnya tidak kita nafikan, ada ketika kita tidak mampu mengelak daripada menghadapi tekanan dalam menjalani kehidupan. Pelbagai tekanan dihadapi menyebabkan kita hilang semangat dalam menempuh cabaran dan dugaan yang datang silih berganti atau secara bertimpa-timpa. Lihatlah betapa lemah dan kerdilnya kita, begitu cepat hilang pergantungan sedangkan Allah sedang menduga. Ujian yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah dalam dua bentuk iaitu sama ada kesusahan atau kesenangan. Kedua-dua ujian itu benar-benar menguji kita sebagai hambanya. Ingatlah bahawa kehidupan di dunia yang meliputi kemewahan dengan segala pangkat kebesaran dan kesenangan itu adalah sekadar ujian. Sesungguhnya hanya bagi mereka yang terpedaya yang akan hanyut dengan ujian ini.

Sedangkan dugaan kesusahan dan kesengsaraan di dunia pula, kadang membuatkan kita rasa lemah dan putus asa. Kadang kita seringkali mengeluh dengan apa yang ditetapkan untuk kita, dan seringkali jua kita persoalkan itu dan ini tentang takdir yang telah tertulis olehNya. Apakah dengan penerimaan sebegini kita fikir kita cukup redha dengan ketentuanNya? Kadang kala pula kita seringkali merumuskan itu dan ini tentang ketetapanNya.

'Jikalau dugaan ini tiada, sudah tentu aku begini...'
'Jikalau ini tidak terjadi sudah tentu aku begitu.... '

Apakah kita fikir kita lebih tahu dari Dia yang menciptakan kita? Dan apakah kita fikir kita sebenarnya lebih tahu apa yang terbaik untuk kita?

Subhanallah. Maha suci Allah... !
Sudah tentu kita hamba yang kerdil ini tidak tahu apa-apa berbanding Dia yang Maha Sempurna.. Namun tanpa kita sedari segala persoalan yang timbul dibenak kita sebenarnya telahpun terjawab dalam Kalam Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan sesuatu, maka Dia juga Maha Mengetahui persoalan yang bakal timbul di fikiran hambaNya. Maka Dia lebih dahulu menjawab persoalan itu dalam ayat-ayatNya.

Inilah jawapan Allah tehadap persoalan yang kadangkala timbul dalam hidup kita.


Ya Allah... kenapa semua ini terjadi padaku? 
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah : 216) 


Ya Allah.. kenapa terlalu berat ujian ini? 


"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan Kesanggupannya." (Al-Baqarah : 286) 

Ya Allah.... terasa kehidupan ini sudah tiada maknanya lagi bagiku.


"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali Imraan : 139) 

"... ..dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87) 

Ya Allah... bagaimana harus kuhadapi semua ini? 


"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk" (Al-Baqarah : 45) 

Ya Allah... apa yang akan kudapat daripada semua ini?


"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu'min, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka..(At-Taubah : 111) 

    Ya Allah.... kepada siapa harus ku berharap?


"Cukuplah ! Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal." (Surah At-Taubah : 129) 

Ya Allah...berimankah aku?


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta? (Al-Ankabut : 2-3) 

Renungi dan redhalah terhadap ketentuan Allah. Pasti tersingkap hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ujian-Nya. Bersabarlah duhai hati. Moga kita menjadi hamba yang Redha dan diredhai-Nya.

2.20.2011

saje-saje . . . .

Bismillahirrahmanirrahim...

"Ya Allah kami memohon keredhaan dan keberkatan Mu Ya Allah,tunjukan lah kami ke jalan yang benar jalan yang Engkau redhai Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim..Jauhkan lah kami dari perkara-perkara yang Engkau tidak sukai dan berilah kami petunjuk untuk melakukan perkara-perkara yang Engkau sukai Ya Allah..SesungguhNya jangan tinggalkan kami di lembah syaitan dan tunduk pada nafsu semata-mata Ya Allah..Sesungguhnya Engkau lah Yang Maha Mengetahui setiap isi hati hamba-hamba Mu Ya Rahman Ya Rahim Ya ZaljalaliwalIkram..Ameen.."

ok something to share with you all : sajak Aminah Qutb buat bakal suami nya..;)

Sekiranya,
kita cinta kepada manusia,
tak semestinya manusia cinta kepada kita,
Tetapi sekiranya,
kita cinta kepada Allah,
nescaya cinta Allah tiada penghujungnya..

Sekiranya,
kita cinta kepada manusia,
kita akan cemburu kepada orang yang mencintai orang yang kita cintai,
Tetapi sekiranya,
kita cinta kepada Allah,
kita akan turut mencintai orang yang melabuhkan cintanya kepada Allah juga..

Ya ALLAH,
andainya dia adalah jodoh yang ditetapkan oleh Mu kepadaku,
Maka,
campakkanlah ke dalam hatiku,
cinta kepadanya adalah keranaMu,
dan campakkanlah ke dalam hatinya,
cinta kepadaku adalah keranaMu..
Namun..
andainya dia bukanlah jodoh yang ditetapkan olehMu kepadaku,
berikanlah aku kekuatan agar pasrah dalam mengharungi ujian,
Yang Kau berikan padaku..

sajak ini adalah bingkisan dari buku yang dikarang oleh ustazah fatimah syarha : Pemilik Cintaku setelah Allah dan Rasul

*** selamat beramal***

2.15.2011

Salam Maulidurrasul ...


“MAULID AL-RASUL SAW” Pepatah Melayu ada mengatakan “Tak Kenal, Maka Tak Cinta”. Demikianlah sikap kita terhadap Rasulullah SAW. Seseorang itu tidak akan menyambut kelahiran Rasulullah SAW jika tiada perasan cinta terhadap baginda. Malahan sesetengahnya langsung tidak mempedulikan Rasulullah SAW, seolah-olah tiada apa-apa keistimewaan dengan kelahiran dan pengutusannya. Menyedihkan lagi, sebahagian daripada umat Islam lebih mengingati kelahiran paderi ‘ St.. Valentino‘ daripada mengingati Rasulullah SAW, lebih mengingati biodata para artis daripada biodata Rasulullah SAW. Beginikah kecintaan kita kepada seorang kekasih dan utusan Allah SWT? Justeru, saya (penulis) berasa bertanggungjawab untuk memaparkan biodata dan kronologi hidup Baginda SAW untuk tatapan dan ingatan kita bersama agar kita lebih mencintai kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW.

SEJARAH RINGKAS RASULULLAH SAW BIODATA RASULULLAH SAW

::> Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim

::> Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Ka’abah)

::> Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah

::> Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim

::>Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf

::> Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)

::> Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)

::> Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)










 USIA 5 TAHUN

::> Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalamnya.


USIA 6 TAHUN

::> Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)

::> Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.


USIA 8 TAHUN

::> Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.

::> Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.



USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).

::> Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.

::> Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.



USIA 20 TAHUN

::> Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.

::> Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.



USIA 25 TAHUN

::> Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.

::> Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.

::> Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.

::> Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.



USIA 35 TAHUN

::> Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.

::> Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.

::> Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.



USIA 40 TAHUN

::>Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.



USIA 53 TAHUN

::> Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.

::> Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.



USIA 63 TAHUN

::> Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.



ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW.

§ ..Khadijah Binti Khuwailid

§ ..Saudah Binti Zam’ah

§ ..‘Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)

§ ..Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)

§ ..Ummi Habibah Binti Abu Sufyan

§ ..Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)

§ ..Zainab Binti Jahsy

§ ..Maimunah Binti Harith

§ ..Safiyah Binti Huyai bin Akhtab

§ ..Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)



ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

1. Qasim

2. Abdullah

3. Ibrahim

4. Zainab

5. Ruqaiyah

6. Ummi Kalthum

7. Fatimah Al-Zahra’



ANAK TIRI RASULULLAH SAW

o Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).



BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW (ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

1. Al-Harith

2. Muqawwam

3. Zubair

4. Hamzah ***

5. Al-’Abbas ***

6. Abu Talib

7. Abu Lahab (nama asalnya ‘Abdul ‘Uzza)

8. Abdul Ka’bah

9. Hijl

10. Dhirar

11. Umaimah

12. Al-Bidha (Ummu Hakim)

13. ‘Atiqah ##

14. Arwa ##

15. Umaimah

16. Barrah

17. Safiyah (ibu kepada Zubair Al-’Awwam) ***



*** Sempat masuk Islam.

## Ulama’ berselisih pendapat tentang Islamnya.



Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam syurga.” (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )

2.07.2011

'DELETE' 14 februari dalam kalendar minda kita!

Apa istimewanya tanggal 14 Februari? Ia disambut dengan penuh kegembiraan oleh sebilangan besar rakyat dunia pada masa kini. Saban tahun, ramai tertunggu-tunggu akan tibanya tarikh tersebut. Kononnya ia adalah hari kekasih yang mana merupakan detik yang tepat buat pasangan yang hangat bercinta meluahkan rasa kasih dan cinta sesama mereka. Tidak kira dalam bentuk apa sekalipun, asalkan hasrat hati mereka tercapai.

Jika diperhatikan, budaya menyambut hari kekasih ini sudah mendapat tempat dan begitu popular dalam kalangan masyarakat kita termasuklah yang beragama Islam. Ia lebih tertumpu kepada golongan remaja biarpun ada dalam kalangan kita yang sudah berumahtangga sekalipun turut sama meraikan.




Menyimpang

Hari kekasih begitu sinonim dengan pemberian hadiah berupa coklat dan bunga mawar merah. Ia adalah lambang kasih sayang yang sangat istimewa yang diberikan. Bunga mawar dipersembahkan dalam hiasan dan balutan yang cantik manakala coklat pula disampaikan dengan bentuk dan kotak yang menarik sama ada berbentuk hati dan sebagainya. Tidak cukup dengan hadiah, ada yang meraikan dengan makan malam istimewa dan juga 'pembuktian' ketulusan cinta yang dibina. Walaupun ia jauh sekali menyimpang daripada budaya dan syariat umat Islam, namun kerana nafsu, ia dikira 'halal'.

Hari ini, umat Islam terpaksa berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman sama ada dari sudut budaya mahupun agama. Kita telah dijajah dari keseluruhan cara hidup, mentaliti, kelakuan dan juga amalan kerohanian yang sudah boleh dilihat adanya percampuran dengan unsur-unsur dari barat. Jadi, tidak hairanlah jika sambutan yang diraikan oleh golongan kristian turut sama disertai oleh umat Islam yang mudah terpengaruh.

Justeru, hari kekasih langsung tidak ada dalam sejarah Islam. Malah Islam sentiasa bersifat universal dan tidak dibatasi waktu, tempat,objek dan juga motif untuk menunjukkan kasih sayang. Hal ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, "Cintailah saudara se-Islam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari). Jadi ikutan siapakah hari kekasih ini? Apabila kita leka, kita secara tidak langsung akan meminggirkan suruhan agama dan lebih kepada mengikut hawa nafsu dan mencari keseronokan hidup. Tanpa kita sedar, rupanya kita menyambut hari pemujaan penganut kristian. 

Asal-usul Hari Kekasih

Menurut catatan sejarah, pelbagai kisah yang diceritakan mengenai asal usul sambutan hari kekasih ini. Ada yang mengatakan, sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari Valentine pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Manakala dalam penceritaan lain, hari kekasih ini diraikan oleh penganut Kristian yang memuja seorang paderi bernama St. Valentine dengan menganggap beliau seorang yang mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap agama Kristian dan penganut-penganutnya. Walau apa pun, jelas sekali ia langsung tiada kaitan dengan hari kebesaran buat umat Islam untuk turut sama meraikannya.

Allah telah berpesan kepada hamba-Nya, amal buruk jangan dikerjakan tidak kira dalam apa jua bentuk kelakuan sekalipun tetapi manusia sering melakukan sebaliknya. Apa-apa yang dilarang, itulah yang dibuatnya. Sama ada disebabkan ceteknya ilmu agama atau kerana terlalu mengikut hawa nafsu, jawapannya ada pada diri sendiri. Yang pasti, sambutan hari kekasih sudah menjadi trend dan mereka yang tidak meraikannya dipandang kolot dan 'out dated'.

Hakikatnya, sifat manusia ini lemah. Mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat yang sengaja ingin memusnahkan dan melemahkan pegangan umat Islam. Golongan yang tidak senang dengan kehebatan Islam cuba merosakkan budaya dan akidah walau dengan apa cara sekalipun. Jika kita perhatikan, sebelum tiba tarikh 14 Februari, sebilangan besar media massa di seluruh dunia berlumba-lumba menyiarkan tentang kemeriahan menyambut hari kekasih, pasaraya dan pusat membeli belah pula membuat promosi besar-besaran dari segi hiasan, potongan harga dan juga tayangan filem-filem cinta bagi membesarkan lagi sambutan hari kasih sayang ini.

Sebagai umat Islam yang diwajibkan patuh pada ajaran Islam dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, tinggalkanlah perbuatan yang sia-sia ini. Ia bukanlah hiburan yang boleh mengembirakan hati kita malah memesongkan akidah. Kita wajar tahu yang beramal mengikut sesuatu yang bertentangan dengan suruhan Allah itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan juga keimanan kita terhadap Allah SWT.

Tiada istilah menyambutnya sekadar suka-suka. Keterlibatan kita dengan sambutan hari kekasih yang jelas khusus untuk golongan kristian sudah dikira salah malah jatuh kepada perkara haram kerana menggalakkan pasangan berdua-duaan dan menyalurkan rasa kasih sayang diluar batas syariat. Walau bagaimanapun, bagi yang sudah berkahwin, amat digalakkan berkasih sayang tetapi janganlah membesar-besarkan tarikh 14 Februari sebagai hari yang istimewa buat diri dan pasangan tetapi jadikan setiap hari adalah hari kekasih. Selain memperolehi kebahagiaan, kita juga diberi ganjaran pahala di atas amal kebaikan yang dilakukan setiap hari.

Aku dan KEKASIHKU

Kali ni aku nak kongsikan tentang KEKASIH aku? (aku taip huruf besar tu sebab aku terlampau sangat sayang kat DIA!) Penyayang sifatnya. Betul ni.. tak tipu punya! Pure cintalah nak dikategorikan tu. Apa taknya, masa aku susah, minta tolong sajalah pada DIA. Pasti akan datang bantuan. Bila aku susah hati, boleh terus ngadu kat DIA -> direct! Pergghh !!
Yang bestnya tu, bila aku dah ngadu kat DIA, terasa peace aje. For surelah...KEKASIH, kan?! Ish! Beruntung betul dapat KEKASIH cam ni... tak pernah nak sakitkan hati aku. Bila-bila masa aje aku boleh contact DIA. Yang seronok tu, sebab memang betul-betul rasa DIA tu dekat kat hati ni! Ye la, cinta punya pasal, kan?
DIA tak kisah pun kalau aku tak ingat kat DIA. Tapi rugilah aku. Sebab, kalau aku ingat & contact je DIA, sure macam-macam la yang aku dapat. Tak kiralah, material ke... spiritual ke... emm memang kekasih sejatilah tu! Bila aku rindu kat DIA, baca je surat-surat yang DIA bagi tu. Macam-macam nasihat ada dalam tu. Siap bagi contoh lagi nak suruh aku faham.
Sebelum ni, aku pernah gak frust. Memang sedih giler la masa tu. Ye la, cinta bagai nak rak, tiba-tiba clash gitu aje.  Tapi KEKASIH aku yg ni lain, DIA tak kisah pun dengan cerita aku frust tu. Siap bagi semangat lagi. DIA takde jeles pun.
Cuma aku je yang jeles dengan DIA. Memang ramai yang jatuh cinta dekat DIA. So, aku pun kenalah usaha betul-betul. Kata orang putih ~what you give, you get back~
So, kalau aku usaha lebih sikit, aku dapat lebih la, kan? KEKASIH aku ni baik sangat-sangat.
Perfect! Tu yang kadang-kadang aku tengah-tengah malam...  pukul 3-4 pagi tu pun, kalau aku terjaga, aku sure akan contact DIA. Rindu aaaa! Sebenarnya, KEKASIH aku ni kaya... millionaire... billionaire...dan entah apa-apa naire lagi... tu yang pemurah sangat tu. Semua keperluan hidup aku, DIA yang support... percaya tak?
Free of charge... tapi aku tak sedap hati la... mestilah kena hargai apa yang DIA bagi tu, kan? Mak aku kata, kalau orang dah bagi, suka ke tak suka, amik aje la.. .pastu pandai-pandailah membalas budi.. tu yang buat aku sanggup berkorban apa sahaja... cheewah!
DIA suruh aku belajar sungguh-sungguh. Kalau boleh belajar semua ilmu. Sebab, KEKASIH aku ni memang cerdik+bijak+genius dan lain-lain...DIA kata, tanpa ilmu, setiap amal yang aku buat semua sia-sia. DIA pun tambah sayang kat aku kalau aku rajin belajar.
Malu la sebenarnya nak cakap ni...
Emm... aku sebenarnya belum pernah jumpa DIA lagi pun. Belum bersedia la... tapi KEKASIH aku ni dah janji, satu hari nanti, mesti jumpa. Sekarang ni menghitung hari la aku ni. Tapi kecut perut gak! Takuut! Aku mesti prepare awal-awal.
Daripada surat-surat DIA yang ada tu, aku tahu la apa yang DIA suka, apa yang DIA tak suka. Mestilah aku nak buat apa yang DIA suka, jadi, DIA tambah-tambah sayang la kat aku, kan? Takpe la, berkorban sekarang, sebab dia dah janji, sapa-sapa yang DIA sayang, DIA bagi hadiah special yang aku tak pernah terfikir pun!
Ish! Rindu sangat dah ni!

Kekasih.. Aku berjanji, aku akan pertahankan cinta suci ini..
Walau nyawa digalang ganti, menggadaikan cinta teragung ini..
Tidak sama sekali..
Walaupun tak pernah berjumpa, aku tetap bahagia..
Itulah kekasihku.. Allah SWT.. cinta teragungku!